ERA PENJAJAHAN

 Hala tuju perkembangan pendidikan  di Malaysia era penjajahan terhadap pembangunan insan dan negara

(NURHAZIRAH HUSNA BINTI HAZIZI -D20201093921-)

   SISTEM DAN STRUKTUR PENDIDIKAN SEMASA 

PENJAJAHAN BRITISH 

  • Kedatangan Portugis dan Belanda ke Tanah Melayu tidak banyak mengubah sistem pendidikan tradisional. Perubahan yang amat ketara berlaku apabila Inggeris mula menguasai negeri-negeri melayu. Pada zaman penjajahan Inggeris terdapat lima jenis pendidikan yang berbeza dan masing-masing berorientasikan keperluan identiti kaum iaitu sekolah pondok, sekolah vernakular melayu, sekolah vernakular cina, sekolah vernakular india dan sekolah inggeris.
  • Sistem pendidikan tersebut mempunyai perbezaan dalam banyak aspek seperti sukatan pelajaran,bahasa penghantar,kemudahan yang disediakan, dan peluang pekerjaan.
  • Perbezaan sistem pelajaran seperti ini tidak mendorong semangat kekitaan serta persefahaman dan akhirnya menghalang perpaduan rakyat di Tanah Melayu.
                                          
                                        

                                  Sekolah Agama Islam pada Tahun 1950-an

-Terdiri daripada sekolah pondok, madrasah, sekolah agama rakyat dan sekolah agama.

-Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Arab sebagai bahasa penghantar.

-  Dibiayai sendiri.

-  Bebas daripada kawalan British.

-  Mempunyai pengajian peringkat sekolah rendah dan menengah.

-  Berpeluang melanjutkan pelajaran ke Indonesia, Mesir, dan India.

1. Bangsa Melayu

Kerajaan British telah mula mengambil perhatian terhadap pendidikan di negeri-negeri Selat. Blundell (Gabenor negeri Selat) telah mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-sekolah vernakular melayu di negeri-negeri selat dengan bantuan kerajaan british. Sekolah vernakular melayu telah ditubuh di negeri singapura, pulau pinang dan melaka (1856-1863). Mata pelajaran yang biasa diaplikasikan di sekolah-sekolah vernakular ialah bacaan, mengarang, ejaan, menulis, ilmu hisab, latihan jasmani dan ilmu alam. Bentuk kemahiran asas yang diajar pula ialah perkebunan dan penternakan. Falsafah pendidikan berbentuk kemahiran sengaja disalurkan mengikut dasar untuk mengekalkan masyarakat melayu sebagai kaum tani.

           

 Sekolah Vernakular Melayu pada Tahun 1950-an

-  Menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

-  Dibiayai oleh British.

-  Pengajian hanya di peringkat sekolah rendah.

-  Dibina di kawasan luar bandar.

-  Persekitaran belajar yang daif.

-  Tidak berpeluang untuk menjawat jawatan tinggi.

-  Berpeluang melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).


2. Bangsa Cina

Perkembangan sekolah vernakular cina yang pertama telah didirikan oleh Persatuan Mubaligh London di negeri Melaka pada tahun 1815, dan kemudiannya di singapura pada tahun 1819. Kebanyakan sekolah cina yang ditubuhkan secara persendirian menggunakan premis perniagaan, rumah kediaman, bangunan tokong yang disumbangkan oleh orang perseorangan atau persatuan yang mewakili suku kaum cina tertentu seperti Hakka, Hokkien dan sebagainya. Pada tahun 1900, dua orang menteri dan pendidik dari negara China, Kang You Wei dan Liang Qi Chau telah mendirikan sekolah vernakular cina dan menggabungkan pengajaran “Confucious” dengan pengajaran Sains Barat. Kurikulum yang diperkenalkan adalah berorientasikan kepada negara China. Hampir semua sekolah cina berkembang dengan pesat di bandar besar di Pantai Semenanjung Malaysia Barat seperti Kulala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh serta Taiping. Kewujudan sekolah vernakular cina disebabkan kesedaran masyarakat cina tentang kepentingan pendidikan dan kaedah pendidikan yang digunakan bertulang belakangkan falsafah pendidikan moden yang berasal dari negara China. Hala tuju pendidikan lebih cenderung untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bidang matematik, dan sains.

       

Sekolah Cina pada Tahun 1950-an

-  Ditubuhkan sejak akhir abad ke-19.

-  Ditubuhkan oleh pihak persendirian dan parti-parti politik.

-  Sukatan pelajaran, tenaga pengajar dan buku teks dibawa dari negara China.

-  Berkembang pesat sebagai institusi ilmu, budaya dan bahasa cina di seluruh Tanah Melayu dan Singapura.

-  Mendapat sokongan penuh masyarakat Cina.


3. Bangsa India

Penubuhan sekolah tamil bermula di Pulau Pinang dan Perak oleh pihak Syarikat Perladangan Eropah. Kehadiran pihak inggeris yang membuka ladang getah dan kopi secara besar-besaran turut merancakkan penubuhan sekolah vernakular tamil di kawasan ladang-ladang kepunyaan mereka. Perkembangan sekolah vernakular tamil bermula semasa perkembangan ladang getah, kelapa sawit, kopi dan gula di Tanah Melayu. Terdapat ramai buruh dari negara India telah diambil untuk bekerja di estet-estet. Pendidikan dalam bahasa tamil diberi di salah sebuah sekolah cawangan Singapore Free School mulai tahun 1834. Kurikulum sekolah-sekolah tamil berorientasikan negara asal mereka, India. Buku-buku dan tenaga pengajar dibawa dari Sri Lanka dan India.

                                              

                                            

Sekolah Tamil pada Tahun 1950-an

-  Ditubuhkan oleh pihak estet sebagai satu tanggungjawab sosial.

-  Sukatan pelajaran berorientasikan sistem pendidikan negara India.

-  Guru yang mengajar juga dibawa masuk dari India.

-  Pengajian hanya di peringkat sekolah rendah sahaja.

-  Kurang mendapat sambutan kerana ibu-bapa lebih suka anak mereka membantu bekerja di ladang.  

-  Tidak mempunyai peluang untuk mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan.


4. Bangsa Inggeris

Pada peringkat awal, sekolah inggeris kebanyakan didirikan daripada hasil usaha kaum Mubaligh Kristian. Penubuhan sekolah inggeris adalah berteraskan falsafah untuk memperkembangkan agama kristian dan menyebarkan ideologi penjajah inggeris. Sekolah yang pertama ialah di Penang Free School, Pulau Pinang (1816). Sekolah Inggeris terbahagi dua jenis, iaitu sekolah Free School yang mendapat bantuan daripada kerajaan. Yang kedua ialah sekolah inggeris separa bantuan yang ditubuhkan serta dibiayai oleh persatuan Mubaligh Kristian dengan mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan. Pada tahun 1816, Penang Free School telah ditubuhkan dan pada tahun 1826, Melaka Free Schol ditubuhkan serta disusuli dengan penubuhan Victoria Insitute pada tahun 1893, Sekolah King Edward VII di Taiping pada tahun 1906. Hala tuju pendidikan inggeris pada masa ini adalah untuk melatih tenaga kerja seperti kerani dan juru teknik bagi jabatan-jabatan kerajaan.

        

Sekolah Inggeris pada tahun 1950-an

-  Ditubuhkan sejak abad ke-19.

-  Bahasa penghantar ialah bahasa Inggeris.

-  Diambil alih oleh kerajaan British kerana keperluan tenaga pekerja rendah di sektor kerajaan dan swasta.

-  Didirikan di bandar-bandar sahaja.

-  Murid berpeluang melanjutkan pelajaraan ke peringkat kolej dan universiti dalam dan luar negara.

-  Berpeluang menjawat jawatan yang tinggi.

-  Dipandang tinggi oleh masyarakat.


  • Pada keseluruhannya, pendidikan di zaman penjajahan inggeris ialah bersifat bebas atau “laissez-faire” kerana terdapat lima jenis pendidikan yang telah diwujudkan tidak mempunyai keseragaman, iaitu Islam, Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Setiap jenis sekolah itu mempunyai falsafah dan hala tuju pengajaran dan kurikulum yang berbeza. Akibat kewujudan sistem ini yang kurang mempunyai sistem kawalan peringkat pusat telah menyebabkan konsep intergrasi atau perpaduan kaum sukar dilaksanakan.
SISTEM DAN STRUKTUR PENDIDIKAN SEMASA 

PENJAJAHAN JEPUN

  • Sistem dan Struktur Pendidikan Sebelum Merdeka Pihak Jepun telah menakluki Tanah Melayu pada tahun 1941 sehingga tahun 1945. Pada zaman ini, kebanyakan sekolah diajar dalam bahasa Jepun. Selepas kekalahan pihak Jepun ke atas pihak Inggeris, kurikulum asal telah diaplikasikan semula. Walau bagaimanapun, beberapa laporan cadangan terhadap kurikulum baru telah digubal. Laporan-laporan yang dimaksudkan ialah Laporan Barnes 1951, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran 1952, Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Laporan Razak 1956.
  • Akibat daripada ketidakseimbangan ini, pihak Inggeris telah membuat kajian. Rentetan daripada itu, beberapa laporan telah dirangka antaranya Laporan Barnes (1951), Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran (1952), Laporan Razak (1956). Laporan ini telah membawa perubahan yang besar dalam hala tuju dan falsafah pendidikan di negara kita.

1. Laporan Barnes 1951.

Laporan Barnes 1951 merupakan satu percubaan menuju ke arah perpaduan negara apabila mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular yang berasingan hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah nasional (kebangsaan). Laporan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kepentingan bahasa inggeris di samping mengekalkan bahasa melayu sebagai bahasa perhubungan di sekolah. Namun begitu, laporan ini telah ditentang hebat oleh orang bukan melayu terutama orang cina kerana mereka khuatir sekolah cina akan hilang.

2. Laporan Fenn-Wu 1951.

Laporan Fenn-Wu 1951 diperkenalkan ekoran ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat cina. Di samping mempertahankan kedudukan bahasa cina, laporan ini juga ditugaskan untuk memberi nasihat tentang penyediaan buku teks sekolah cina yang berorientasikan kepada Tanah Melayu sebagai satu cara untuk mendekatkan masyarakat cina dengan situasi kehidupan Tanah Melayu.

3. Ordinan Pelajaran 1952.

Pihak Inggeris kemudiannya telah menyatukan kedua-dua laporan itu dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini telah menetapkan bahawa penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu bahasa melayu dan inggeris. Selain itu, bahasa cina dan tamil akan diajar sebagai bahasa ketiga jika terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat 15 orang dalam sebuah bilik darjah dan sekolah cina dan tamil tidak diterima sebagai sistem pelajaran kebangsaan. Walau bagaimanapun, Ordinan ini tidak dapat dijalankan kerana menghadapi pelbagai masalah.

4. Laporan Razak 1956.

Laporan Razak 1956 ialah untuk melahirkan sekolah yang berjiwa Tanah Melayu dengan menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Laporan Razak melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk melaksanakan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran 1957. Laporan Razak telah menjadi asas perkembangan pendidikan di Malaysia selanjutnya.

  • Laporan-laporan ini memberi cadangan untuk mewujudkan satu sisitem pendidikan kebangsaan yang akhirnya membawa kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1961.
RUMUSAN 
  • Era penjajahan telah mengubah sistem pendidikan tradisional dengan amat ketara. Kedatangan inggeris telah mengubah corak pendidikan era tradisional yang berorientasikan keperluan identiti kaum. Terdapat lima jenis pendidikan yang berbeza iaitu orang Barat telah menubuhkan sekolah pondok, sekolah vernakular melayu, sekolah vernakular cina, sekolah vernakular tamil dan sekolah Inggeris. Landasan yang digunakan pada era penjajahan adalah mengikut dasar penjajah iaitu dasar pecah dan perintah. Akibat ketidakseimbangan pihak inggeris dalam pendidikan, beberapa laporan kajian seperti Ordinan Pelajaran (1952), Laporan Barnes (1951), Laporan Fenn-Wu (1951) dan Laporan Razak (1956) telah membawa perubahan yang besar dalam hala tuju dan falsafah pendidikan di Malaysia. 
  • Pada era 1971 -1990, dasar ekonomi baru diperkenalkan bagi merapat jurang sosio-ekonomi antara kaum. Bahasa melayu juga diperkenalkan sebagai bahasa pengantar utama. Skim pinjaman buku teks dan rancangan makanan tambahan juga dilaksanakan. Pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah dilaksanakan dan pada tahun 1987, Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan bagi menjadi landasan pendidikan di Malaysia. Setahun berikutnya iaitu pada tahun 1988, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dilaksanakan bagi menerap matlamat di dalam Falsafah Kebangsaan Malaysia.
  • Sistem pendidikan di Malaysia yang diamalkan sekarang dibentuk berasaskan cadangan dan laporan beberapa jawatankuasa pendidikan yang ditubuhkan khas untuk mengkaji sistem persekolahan di Tanah Melayu. Jawatankuasa ini memberi pelbagai cadangan yang menjadi asas kepada pembentukan sistem pendidikan kebangsaan seterusnya memperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi landasan dan hala tuju utama sistem pendidikan. Sehubungan itu, tugasan ini adalah untuk menjelaskan mengenai konsep-konsep hala tuju pendidikan di Malaysia pada masa kini bagi mencapai matlamat modal insan kelas pertama. 
  • Terdapat cabaran dalam mengubah hala tuju pendidikan pada masa kini yang tidak berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Seterusnya, ini juga mengaitkan pendekatan yang telah diambil oleh kerajaan dan pendapat oleh ahli kumpulan untuk penambahbaikkan hala tuju pendidikan di Malaysia dalam beberapa isu hala tuju pendidikan yang berbangkit. Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan satu landasan yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan untuk membentuk modal insan kelas pertama. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
  • Kesimpulannya, proses pembangunan insan dan negara telah mengalami perubahan demi perubahan mengikut zaman dalam usaha untuk memartabatkan sistem pendidikan sebagai agen kearah pembangunan masyarakat. Oleh itu, pendidikan yang berorietasikan falsafah untuk melahirkan insan yang berjiwa besar dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek akan menentukan hala tuju pembangunan negara di masa hadapan.
       

      

"VIDEO MENGENAI SEKOLAH VERNAKULAR DI MALAYSIA"




 












No comments:

Post a Comment

PENGHARGAAN

Syukur Alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat ilahi kerana dengan izin kurnianya dapat kami menyempurnakan tugasa...